Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat Qadhi yang
kaya-raya. Suatu hari kebetulan hari Asyura' datanglah seorang miskin meminta
sedekah. Berkatalah si miskin tadi, "Wahai tuan Qadhi, adalah saya seorang
miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan kemuliaan hari
ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah saya sedekah
sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging dan duit dua
dirham."
Qadhi menjawab, "Datanglah selepas waktu zohor!"
Selepas sembahyang zohor orang miskin itu pun datang demi
memenuhi janjinya. Sayangnya si Qadhi kaya itu tidak menepati janjinya dan
menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. Apabila dia datang
selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata si Qadhi tidak
memberikan apa-apa. Maka beredarlah simiskin dari rumah si Qadhi dengan penuh
kecewa.
Di waktu si miskin jalan mencari-cari, ia melintas di
depan seorang kristian sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. Kepada orang
Kristian itu si miskin minta sedekah, "Tuan, demi keagungan dan kebesaran
hari ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya."
Si Kristian bertanya, "Hari apakah hari ini?"
"Hari ini hari Asyura", kata si miskin, sambil
menerangkan keutamaan dan kisah-kisah hari Asyura'. Rupanya orang Kristian itu
sangat tertarik mendengar cerita si peminta sedekah dan hatinya berkenan untuk
memberi sedekah.
Berkata si Kristian, "Katakan apa hajatmu
padaku!"
Berkata si peminta sedekah, "Saya memerlukan sepuluh
keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja."
Dengan segera ia memberi si peminta sedekah semua
keperluan yang dimintanya. Si peminta sedekah pun balik dengan gembira kepada
keluarganya. Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya.
"Angkat kepalamu!" kata suara dalam mimpinya.
Sebaik sahaja ia mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua
buah bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut
emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan warnanya.
Ia bertanya, "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat cantik ini?"
Terdengar jawaban, "Semua bangunan ini adalah untuk
kamu andaikan sahaja kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini
bangunan itu dimiliki oleh seorang Kristian."
Apabila Qadhi bangun dari tidurnya, iapun pergi kepada
Kristian yang dimaksudkan dalam mimpinya.
Qadhi bertanya kepada si Kristian, "Amal apakah
gerangan yang kau buat semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang
sangat cantik?"
Orang Kristian itu pun menceritakan tentang amal yang
diperbuatnya bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya
pada hari Asyura' itu.
Kata Qadhi, "Juallah amal itu kepadaku dengan harga
seratus ribu dirham."
Kata si Kristian, "Ketahuilah wahai Qadhi,
sesungguhnya amal baik yang diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan
sekalipun dengan harga bumi serta seisinya."
Kata Qadhi, "Mengapa anda begitu kedekut, sedangkan
anda bukan seorang Islam?"
Ketika itu juga orang Kristian itu membuang tanda salibnya
dan mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang dibawa
oleh Nabi Muhammad S.A.W.
No comments:
Post a Comment