Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim
membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina
Kaabah setelah Allah S.W.T menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina
Baitullah itu.
Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah S.W.T
meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak
Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.
Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu
telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang
lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang
lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan
Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip
batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah S.W.T yang bermaksud,
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail
meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan
berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau
amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).
Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan
batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina
Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah S.W.T
sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka
terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga
hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah S.W.T.
Apabila agama Islam datang, Allah S.W.T mensyariatkan
untuk bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman Allah yang
bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat
sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).
Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah
bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.
Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah S.W.T
memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan
haji di Baitullah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Dan serulah umat
manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah
Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang
kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh." (surah
al-Haj ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais
satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil
dengan nama Allah, "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah
membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji
di sana."
Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah
orang melaungkan azan. Allah S.W>T menyampaika seruan Nabi Ibrahim a.s pada
setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua
orang yang mengerjakan fardhu haji, karena haji itu tidak akan sah tanpa
talbiah.
Bacaan talbiah antara lainnya,
"Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, aku datang untuk menunaikan
panggilan-Mu ya Allah.
Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu
hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya. Banyak
orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang sangat
menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat lebih teruk dari
masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan
sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.
Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang
lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima
oleh Allah S.W.T. Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari
menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat.
Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak
akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah S.W.T sebaliknya
mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna. Tanpa mengerjakan
sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat dan
sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment